Warisan tinggalan Islam di Uzbekistan yang memukau : Kembali ke 13 Abad yang lalu
Uzbekistan, terletak di tengah-tengah Asia Tengah, merupakan tanah di mana gema sejarah dan budaya Islam bergema sehingga ke hari ini. Dengan kota-kota silamnya, masjid-masjidnya yang berdiri megah, dan kisah-kisah ulama dalam pelbagai bidang ilmu, Uzbekistan menawarkan perjalanan yang memberikan kesan mendalam ke dalam jiwa terutama atas perkara yang berkait dengan tamadun Islam. Sama ada anda seorang pengembara, ahli sejarah atau mencari ilmu kerohanian, warisan Islam Uzbekistan menjanjikan pengalaman yang sangat unggul.
Sejarah dan Latarbelakang Uzbekistan
Seringkali pengembara berkunjung ke Uzbekistan bagi menyaksikan tinggalan pemerintahan Islam semasa zaman kemakmuran Islam di sana. Bandar-bandar seperti Samarkand dan Bukhara punyai banyak keunikan yang membantu membentuk zaman keagongan Islam.
Peneroka pertama yang direkodkan di tanah Uzbekistan moden ialah nomad Iran Timur, dikenali sebagai Scythians, yang mengasaskan kerajaan di Khwarazm, Bactria, dan Sogdia pada abad ke-8–6 SM, kemudian diikuti oleh Kerajaan Fergana dan Margiana pada abad ke-3 SM hingga keabad ke-6 Masihi. Uzbekistan pernah dimasukkan ke dalam Empayar Parsi Achaemenid dan, selepas beberapa ketika kemudian ianya diperintah oleh pemerintahan Yunani-Baktria dan kemudiannya oleh Empayar Sasania, sehingga penaklukan oleh orang Islam ke atas Persia pada abad ketujuh. Penaklukan Muslim di peringkat awal dengan Empayar Samanid telah mengislamkan kebanyakan penduduk. Dalam tempoh itu, bandar-bandar mula menjadi kaya yang disebabkan limpahan dari kemakmuran Jalan Sutera. Ianya kemudian telah menjadi salah satu pusat yang bermulanya Zaman Keemasan Islam.

Di hadapan Makam Amir Timur
Dinasti Khwarazmian telah dimusnahkan oleh pencerobohan Mongol pada abad ke-13, yang telah membawa kepada dominasi oleh orang Mongol. Empayar Timurid di abad ke-14 telah ditubuhkan oleh Timur. Ibu kotanya ialah Samarkand, yang menjadi pusat sains di bawah pemerintahan Ulugh Beg, yang kemudian melahirkan "Timurid Renaissance" - Kebangkitan kepada ilmu Sains, Matematik dan Seni. Wilayah-wilayah dinasti Timurid telah kemudiannya ditakluki oleh Kipchak Shaybanids pada abad ke-16. Penaklukan oleh Maharaja Babur yang berkembang ke arah timur membawanya menjadi sebahgian Empayar Mughal di India. Kebanyakan Asia Tengah secara beransur-ansur dimasukkan ke dalam Empayar Rusia pada abad ke-19, dengan Tashkent menjadi pusat politik Turkestan Rusia. Pada tahun 1924, persempadanan negara mewujudkan Republik Sosialis Soviet Uzbekistan sebagai sebuah republik Kesatuan Soviet. Ia mengisytiharkan kemerdekaan sebagai Republik Uzbekistan pada tahun 1991.
Kedatangan Islam di Asia Tengah
Islam mula berakar umbi di Uzbekistan sejak abad ke-8 apabila penakluk dan mubaligh Arab memperkenalkan agama Islam ke rantau ini. Selama berabad-abad lamanya, kawasan itu telah berkembang menjadi salah satu mercu tanda keilmuan Islam termasuklah seni bina dan ilmu kerohanian. Uzbekistan merupakan sebahagian daripada Jalan Sutera yang bersejarah itu dan telah menjadi tempat dimana pemikiran-pemikiran baru berkembang dalam bidang-bidang seni dan budaya Islam selaras dengan perkembangan dalam perdagangan dan diplomasi.
Samarkand: Mutiara Dunia Islam
Beberapa tempat yang mampu mempesonakan imaginasi di Uzbekistan ialah seperti Kota Samarkand, merupakan sebuah bandar yang pernah berdiri di tengah-tengah Empayar Timurid. Di sinilah penakluk hebat satu ketika dulu yang bernama Tamerlane (Amir Timur) menubuhkan ibu kotanya dan melabur dalam mewujudkan sebuah kota dengan keindahan yang tiada tandingannya.

Maqam Amir Timur (Tamerlane)
Dataran Registan ialah permata mahkota Samarkand — himpunan megah tiga madrasah yang dihiasi dengan jubin yang halus bersama dengan inskripsi al-Quran.
Madrasah Ulugh Beg berdiri sebagai bukti kecintaan terhadap sains dan ilmu pengetahuan di rantau ini, dibina oleh ahli astronomi Timurid dan pemerintah Ulugh Beg.

Dataran Registan - Madrasah Ulugh Beg, Madrasah Tilya-Kori dan Madrasah Sher-Dor
Masjid Bibi-Khanym, pernah antara yang terbesar di dunia Islam, masih mengagumkan pengunjung dengan kubah besar dan kepentingan sejarahnya.

Masjid Bibik Hanum
Berdekatannya terletak makam Imam Bukhari, penyusun Sahih al-Bukhari yang dihormati, salah satu koleksi Hadis paling sahih dalam Islam Sunni.

Maqam Imam Bukhari
Bukhara: Kota Suci
Bukahara selalu juga dipanggil "Bukhara yang Bangsawan". Ianya telah menjadi pusat pembelajaran Islam selama lebih seribu tahun. Dengan adanya lebih daripada 300 masjid dan juga lebih 100 madrasah semasa kemuncaknya, Bukhara memainkan peranan penting dalam pembangunan rohani dan keintelektualan dunia Islam.
Di sini kita boleh lawati kompleks Po-i-Kalyan, yang menampilkan Menara Kalyan yang ikonik, yang pernah dikenali sebagai "Menara Kematian" kerana penggunaannya dalam menjatuhkan hukuman bunuh di zaman silam.

Kompleks Po-i-Kalyan
Makam Baha-ud-Din Naqshband (1318 – 1389) , tidak jauh dari Bukhara, menarik jemaah Sufi dari seluruh dunia, kerana beliau adalah pengasas tarekat Sufi Naqsyabandi yang berpengaruh.

Maqam Bahaudin Naqshabandi
Khiva: Muzium Seni Bina Islam yang terus Hidup
Tidak seperti kebanyakan bandar purba, Khiva dipelihara seperti muzium terbuka. Berjalan melalui Itchan Kala, bandar dalaman bertembok, adalah seperti melangkah kembali ke zaman silam Keemasan Islam.

Muzium terbuka Khiva
Masjid Juma, dengan 200 tiang kayu berukir, menawarkan pengalaman seni bina yang unik.
Minaret Kalta Minor, dengan jubin birunya, masih belum siap tetapi merupakan simbol kemegahan Khiva.
Uzbekistan : Tempat lahir Pemikir dan Ulamak Islam yang hebat
Uzbekistan melahirkan beberapa pemikir dan ulamak yang paling cemerlang dalam dunia Islam termasuklah Imam al-Bukhari, yang kompilasi Hadithnya adalah yang kedua selepas Al-Quran yang autentik digunakan sebagai rujukan bagi umat Islam, Imam al-Tarmizi, seorang lagi ulama Hadis terkenal, murid kepada Imam Bukhari. Makamnya di Termez adalah juga menjadi tarikan pengunjung. Al-Khwarizmi, bapa algebra, yang dari namanyalah perkataan "algoritma" dihasilkan.
Warisan mereka terus mempengaruhi sains moden, matematik dan pengajian agama di seluruh dunia.
Islam Sebagai Tradisi Kehidupan
Islam bukan hanya sekadar sejarah di Uzbekistan — ia adalah merupakan tradisi kehidupan. Daripada laungan azan yang berkumandang di madrasah yang dibina sejak zaman keemasan silam, sehinggalah kemesraan penduduk tempatan yang menawarkan roti yang dibakar dalam ketuhar tradisional disitu menunjukan betapa adat Islam sangat terjalin dengan budaya Uzbekistan. Ramadan dan Aidilfitri disambut dengan penuh penghormatan, dan masjid terus menjadi tempat komuniti dan ibadat yang meriah.

Kompleks Makam Syahid Zidan
Akhir Kalam
Meneroka warisan Islam Uzbekistan adalah sebenarnya membawa kita berjalan melalui manuskrip tamadun Islam yang ditulis dengan indah — setiap halaman penuh dengan cerita, seni bina, kebijaksanaan dan keimanan. Sama ada anda tertarik dengan kemegahan masjid silam, kedalaman sumbangan ilmiah, atau ketenangan rohani pondok sufi, Uzbekistan mengalu-alukan anda dengan tangan terbuka dan keindahan yang berpanjangan.